Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Rabu, Februari 22, 2017

PAS YANG DULU BUKAN LAGI YANG SEKARANG




Oleh : Abby Abadi

PAS YANG DULU BUKAN LAGI YANG SEKARANG


Saya bersyukur dapat bersama Perjuangan PAS Awal HIJRAH tahun 2012 dulu. Banyak perkara yang saya belajar. Terutama tentang pentadbiran negara.

Abby Abadi Faizal

ALLAH bagi saya faham jelas berkaitan agama DIA. Waktu tu saya ada Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz (ATGNA) tempat belajar, bersembang, bertanya apa sahaja. Setiap butir perkataan ATGNA saya pahat dalam kepala saya ini. Ramai jugalah Ustaz/Ustazah PAS jadi rujukan saya pada waktu itu. Turun naik pentas PAS tanpa henti. Semua dengan niat JIHAD, lawan UMNO/BN yang tolak hukum ISLAM & menzalimi rakyat.



Segala macam dalil saya dengar daripada Ustaz-ustaz PAS. (Masih kemas tersemat dlm kepala ini) Daripada tak faham politik hingga saya lebih PAS daripada sebahagian ahli PAS yang lain pada waktu itu.



Bangga ke sana sini dengan imej PAS. Lawan UMNO/BN dengab apa cara, pahala jihad kata ATGNA dan Ustaz Ustazah dalam PAS pada waktu itu. Kena maki caci dan fitnah dengab penyokong & cybertrooper UMNo/BN jangan cakaplah. Segalanya dicari salah sampai kening saya pun bertahun baru nak tutup cerita. Tapi gagahnya saya jalan terus sebab saya yakin dengan perjuangan PAS.



Sampai kena banned terus tak boleh berlakon. Saya redha. Saya tak kisahpun sebab saya nak masuk syurga berbanding nak masuk TV. (hihi.. )



Kena banned nama juga. Takleh gi majlis kerajaan, macam-macamlah. Semua kerana bersama dengan Perjuangan PAS.



Alih-alih, lepas ketiadaan ATGNA segalanya berubah.



Baru betul apa yang ditulis dalam gambar ini (posting TMJDTFC, 18 Feb, 11:57am).







Makin saya perasan PAS dah ke lain arah perjuangan mereka.



Tetap nak menegakkan syiar ISLAM tapi nak bekerjasama dengan UmNO/BN pulak. Drama pulak situ sana sini. Kejap Hudud, kejap RUU. Skandal duit lagi. Walhal UMNO/BN yang menolak hukum ISLAM sekian lama dan menyalahgunakuasa selama hari ini.



Saya naik pentas PAS pun tak tahu dah nak cakap apa. Panel yang bersama maki DAP, maki Amanah je kerja. Dengan UmNO/BN tak lawan dah.



Bila saya makin lama makin menjauh, ikut yang bersama Rakyat, ikut Amanah, ikut Pakatan Harapan ; orang-orang PAS pulak yang maki hamun saya.



Konon saya tak betul, kembalilah ke pangkal jalan, semoga diberi petunjuk, cium bontot DAP, Khadam DAP dan sebagainya.



Walhal saya tak baik sangatpun dengan DAP. Gitu-gitu je. Ahli-ahli DAP pun saya tak kenal sangat. Saya berbaik je semua yang bersama dengan Pakatan Harapan. Suka hati dia orang je main tuduh-tuduh.



Lagi bodoh, bila kita cakap pasal hal negara, ada ahli PAS yang pertikaikan status 'janda' saya. Dia kata dia pun tak nak kat saya. Masalahnya saya nak ke kat dia? (hahaha.....) Gila sengal! Lupa tengok cermin agaknya. 🙊



Cuma jujur, saya suka Mr Lim Guan Eng, Mr Lim Kit Siang. Nampak lebih berakhlak & bersungguh menjaga Amanah Rakyat di Penang. Cakap kurang, kerja lebih. Macam itulah bagus 👍🏻 . Saya tak nampak pun dia orang hina ISLAM seperti yang diperbesarkan.



Kalau pun dia orang tolak Hudud ke, RUU ke biarlah, dah tentu diaorang bukan ISLAM. (Yang MCA, MIC sekutu UmNO korang buat buta je?) Yang buat cerita, fitnah maki hamun tu yang jahat sebenarnya.



Lagi pulak kalau di kalangan alim ulama, lagi menakutkan. Ada ilmu tapi pusing-pusing cerita. Siapa dia? Fikirlah sendiri ye . Mr Lim Guan Eng/Mr Lim Kit Siang pun tak de kuasa.



Kalau betul nak hudud, UMNO/BN la yang patut beri jalan. Tak yah pusing fakta la. Memalukan.



*PS: Ustaz/Ustazah/Ahli PAS ada je yang baik, tapi tak kelihatan sangat dah. Ya pergi ke depan semua akhlak ke laut. Mulut jangan cakaplah. Tak tahu pulak kalau macam tu dikira jihad untuk dapatkan syahid. Sodiihhhh.



Sekian

Khamis, Februari 16, 2017

SOKONG ATAU TAK SOKONG RUU355 PANDANGAN DARI DR MAZA

Telah berlaku perbincangan yang agak panas mengenai pindaan Rang Undang-Undang 355 yang merupakan satu usul yang dibawa oleh Presiden PAS YB DS Abd Hadi Awang.



Cadangan pindaan ini jika berjaya, akan dapat meningkat nilai dan jumlah hukuman di mahkamah syariah kepada 100 rotan, 30 tahun penjara dan RM100k denda.



Berlaku pandangan pro dan kontra mengenai usul itu. Setiap pihak melihat daripada sudut yang berbagai. Itu adalah perkara biasa terutama dalam sistem demokrasi. Di sana ada niat yang baik, dan niat yang sebaliknya dalam perbezaan pendapat itu.



Berbeza pendapat atas niat yang baik itu tidak ganjil. Para sahabat sendiri berbeza pendapat. Ini termasuk isu ketika Khalifah Umar bin al-Khattab enggan membahagikan tanah-tanah rampasan perang di Iraq dan Mesir kepada tentera. Ini berbeza dengan amalan Rasulullah s.a.w. pada hayat baginda.



Majoriti para sahabat tidak bersetuju dengan pandangan Umar. Mereka berhujah dengan Surah al-Anfal (Surah Harta Rampasan Perang) dan amalan Nabi s.a.w. sebelum ini. Sebaliknya, Umar melihat dari sudut maslahah masa depan dan persepsi generasi akan datang, iaitu anak-anak penduduk tempatan datang terhadap Islam. Hal ini disebut dalam pelbagai kitab sirah dan dibincang dalam pelbagai kitab Usul al-Fiqh.



Yang Pelik



Ertinya, tidak pelik untuk berbeza pendapat sekalipun dengan tokoh sehebat Umar. Tidak pelik untuk berbeza sekalipun dengan pihak yang berhujah menggunakan dalil al-Quran dan hadis, selagi mana hal itu boleh dilihat dari sisi pandangan ijtihad yang lain.

Apa yang pelik ialah jika ada pihak yang setiap kali berbeza pendapat dengan mereka, mereka kafirkan pihak yang berbeza, mereka tuduh orang lain musuh Islam, anti-Islam, ditanam jenazahnya di kubur orang kafir, membenci hukum Allah, menentang ulama, tali barut musuh-musuh Islam dan seumpamanya.
Peliknya, hal ini telah berakar umbi sejak sekian lama dalam aliran politik berkenaan. Maka, maki hamun menjadi amalan kumpulan ini alasan mempertahankan Islam dan menyerang musuh Islam.



Saya belum pun memberikan pandangan detil tentang RUU 355, sekadar menyatakan bahawa cadangan itu boleh dikritik ataupun dibantah dari sudut masing-masing. Seperti tradisi biasa, mereka mengikuti pandangan itu dengan cercaan dan maki hamun. Ini adalah tradisi warisan yang wajar mereka ubah jika mereka ingin melangkah ke hadapan ataupun hidup sebagai insan yang bertamadun.

Dapatkah kita bayang jika kumpulan seperti ini menguasai politik negara? Apakah akan terjadi kepada rakyat yang berbeza pandangan dengan mereka?
Jika perbezaan pendapat itu digelar anti-Islam, maka setiap yang anti-Islam tentunya menjadi murtad jika muslim, dan menjadi kafir-harbi jika non-muslim. Jika undang-undang murtad dibuat dalam keadaan seperti itu, pasti ramai pengkritik politik akan didakwa atas enakmen itu. Sementara yang kafir-harbi layak untuk diperangi.



Gambaran Sebelum Pro-RUU 355


Apabila kita sebut cadangan pindaan RUU 355, kita hendaklah tahu bahawa ia satu usul yang dibawa oleh sebuah parti politik. Usul itu telah dimainkan secara politik. Parti politik berkenaan juga selama ini memperkatakan isu hudud sejak sekian lama terutama menjelang pilihanraya.



Hasil dari isu hudud yang pernah dimainkan sejak dahulu pelbagai peristiwa permusuhan antara umat Islam telah berlaku. Berlakunya kafir-mengkafir sejak sekian lama, dua imam, bercerai suami-isteri, enggan makan sembelihan sesama muslim, memutuskan silaturrahim antara keluarga dan tumpah darah sesama umat. Dengan tidak dinafikan bahawa tindakan dan sikap parti lawan mereka juga ada yang tidak sewajarnya.



Demikian juga pendekatan aliran politik berkenaan, bukan sahaja tajam kepada musuh politik tradisi mereka, bahkan kepada rakan-rakan mereka yang keluar parti. Istilah keluar jamaah cabut Islam bukan sesuatu yang asing. Bahkan sesiapa yang berbeza dengan mereka sekalipun dari kalangan yang bukan musuh tradisi mereka, juga menerima nasib yang tidak kurang buruknya seperti anti-ulama, anti-perjuangan Islam, musuh Islam, tali barut musuh Islam dan seumpamanya.



Mengapa hal ini dibangkitkan? Sebabnya, hal-hal ini kadang-kala boleh mempengaruhi sikap orang lain terhadap usul yang dibawa itu. Kadang-kala bukan kerana usul itu semata, sebaliknya apa yang ada berkait dengan pencadang usul tersebut.



Penyokong Usul


Di sana ada pihak yang menyokong Usul Pindaan RUU 355 ini. Sokongan itu mungkin dibina atas beberapa perkara. Antaranya;



1. Ada pihak yang menyokong kerana usul meningkat jumlah dan nilai hukuman kepada 100 rotan, 30 tahun penjara dan 100k denda membolehkan sebahagian hukum hudud dilaksanakan. Iaitu 100 rotan untuk zina, 80 rotan qazaf dan 40 rotan untuk peminum arak. Maka, menyokong usul ini bererti membolehkan hukum hudud yang diperjuangkan selama ini dilaksanakan. Ini bagi mereka adalah tanggungjawab agama.



Di satu sudut, seakan kumpulan ini menerima pandangan yang selama ini ditolak oleh mereka iaitu menyamakan hukuman zina yang belum berkahwin dan yang sudah berkahwin (muhsan). Pegangan umum mereka selama ini ialah penzina yang sudah berkahwin direjam sampai mati.



2. Ada pihak yang menyokong kerana ingin memperlihatkan kesatuan politik parti-parti melayu muslim dan umat Islam secara umumnya.



3. Ada yang menyokong kerana merasakan hukuman sedia ada untuk kesalahan jenayah (yang dikatakan) berkaitan syariat itu terlalu rendah. Gejala maksiat yang berleluasa memerlukan hukuman yang lebih tinggi.



4. Ada yang menyokong kerana ingin hukum hudud yang sepenuhnya dilaksanakan termasuk potong tangan, rejam penzina dan hukuman riddah iaitu membunuh orang yang murtad. Difahamkan itulah cadangan asal parti berkenaan, namun pihak peguam negara telah meletakkan had kepada 100 rotan, 100k dan 30 tahun penjara. Hukuman mati, rejam sampai mati dan potong tangan belum diberikan ruang.



5. Ada pihak yang menyokong kerana ruang ini boleh digunakan untuk mengekang aliran yang berbeza dengan penguasa agama tempatan. Ini seperti aliran kaum muda, salafi, wahabi, fatwa yang tidak mengikut mufti negeri, tarekat yang berbeza, syiah, Islam liberal dan seumpamanya. Pindaan ini akan membolehkan kesalahan ini ditingkatkan hukuman penjara, ataupun denda yang lebih tinggi.



6. Ada yang menyokong untuk menaik taraf kedudukan hakim-hakim di mahkamah syariah supaya setaraf dengan mahkamah sivil khususnya dari segi grade pergajian dan seumpamanya.



7. Ada yang menyokong kerana itu keputusan partinya dan untuk memenangi hati pengundi menjelang pilihanraya umum yang akan datang.



Pembangkang Usul 355


Di sana ada pihak yang tidak menyokong usul ini atas alasan yang pelbagai. Ada yang tidak menyokong sepenuhnya, ada yang menyokong sebahagiannya dan ada yang menentang sepenuhnya. Ada beberapa alasan golongan ini. Tidak bersetuju itu juga dilihat dari sisi yang berbeza antara mereka. antaranya;



1. Mereka bersetuju dengan peningkatan 100 rotan jika hanya untuk hukuman zina, qazaf dan minum arak. Namun, untuk hal-hal yang lain mereka tidak bersetuju. Ini kerana kesalahan di bawah Mahkamah Syariah bukan sahaja zina, qazaf dan arak sahaja. Di sana, ada lagi perkara yang diletakkan di bawah kesalahan ataupun jenayah di bawah Mahkamah Syariah, yang pihak lain mempunyai pandangan yang berbeza. Ini termasuk; poligami tanpa izin, mengajar tanpa tauliah, memberikan pendapat yang berbeza dengan fatwa mufti, mengajar pendapat yang berbeza dengan pegangan pihak berkuasa agama negeri, berkahwin luar negara tanpa izin, membayar zakat kepada pihak lain, mengutip zakat tanpa keizinan dan pelbagai lagi yang boleh dimasukkan oleh pihak berkuasa agama sebagai jenayah syariah mengikut prosedur perundangan setiap negeri.



Jika peningkatan hukuman kepada 30 tahun ataupun denda 100k ataupun sebatan 100 rotan digunakan untuk hal-hal seperti ini akan menimbulkan pelbagai polemik. Ia juga ada ruang kemungkinan akan memandulkan perkembangan intelektual dan hak kepelbagai pendapat dalam negara demokrasi. Maka, ruang Malaysia menjadi negara mullah itu akan lebih tinggi. Ini seperti yang berlaku di beberapa negara yang membatasi banyak hak atas nama agama. Maka, sokongan sepenuh pindaan RUU 355 akan mempunyai risikonya yang tersendiri.



2. Ada yang tidak menyokong kerana suasana hari ini yang dipenuhi dengan Islamphobia. Hal-hal ini jika dibahaskan hanya memberikan persepsi negative terhadap umat Islam. Banyak lagi perkara-perkara lain yang wajar didahulukan dalam pembangunan umat Islam dan usaha memberikan imej yang positive untuk umat Islam.



3. Ada yang melihat ini hanya permainan politik musim pilihanraya. Daripada cara isu itu dibawa ke parlimen, cara ia ditangguhkan, tuduh-menuduh atas sebab perbezaan pandangan parti dan segalanya, bagi mereka hanya memperlihatkan agenda politik semata. Mereka melihat seperti kata-kata Ali bin Abi Talib kepada Khawarij yang sering mengkafirkan orang kerana isu ‘hukum Allah’ :

“Kalimah yang benar tapi dengan maksud yang batil”.
Ini kelihatan seperti buruk sangka. Namun, buruk sangka antara parti-parti politik termasuk yang berjenama Islam bukanlah perkara asing.



4. Ada yang melihat di sudut kestabilan negara yang membabitkan keselarasan undang-undang syariah dan sivil. Mereka merasa ini akan menjadikan keadaan pincang dan polemik antara rakyat atas perbezaan ini akan bertambah runcing.



5. Ada yang enggan menyokong disebabkan isu yang membabitkan pembawa usul ataupun kumpulan politik berkenaan dalam pelbagai perkara. Isu menyokong Iran, isu tuduh menuduh atas nama agama seperti kafir, anti-Islam dan beberapa pendekatan yang lain. Sikap ini mungkin kurang objektif kerana melihat kepada pembawa usul tapi bukan kepada usul. Sepatutnya kepada usul yang dibawa.



Namun dalam politik kepartian hal ini juga tidak pelik. Betapa banyak parti yang enggan berkerjasama dalam hal yang baik hanya kerana melihat kepada siapa yang mencadangkannya.



6. Ada yang memang bersikap kurang senang terhadap apa sahaja cadangan berkaitan Islam. Mereka ini fobia dengan perkataan ‘Islam, syariah dan seumpamanya. Lalu tanpa berfikir panjang, mereka menentang hanya kerana ia berbunyi ‘Islam’. Golongan seperti ini memang terperangkap dalam islamophobia. Banyak faktor menjadikan mereka begitu.



Kesimpulan


Pihak yang menyokong dan menentang mempunyai alasan ijtihad yang berbeza. Sebahagian alasan yang meyokong itu boleh diterima. Sebahagian alasan yang tidak menyokong juga boleh diterima dan ia tidak menunjukkan anti-Islam ataupun sebaliknya.



Menjadikan setiap yang berbeza pendapat dalam hal seperti ini sebagai musuh Islam, ataupun anti-hukum Allah adalah sikap khawarij yang sejak dahulu sering mengkafir dan menyesatkan sesama muslim.



Saya pada asas menyokong pindaan peningkatan kadar hukuman sehingga 100 rotan jika ia hanya untuk digunakan pakai bagi kesalahan jenayah dalam perkara benar-benar jelas iaitu seperti zina, qazaf dan arak.



Adapun untuk peningkatan kadar dan nilai hukuman yang boleh membawa kepada dihukum hal-hal lain yang bersifat pentadbiran dan ijtihad seperti poligami tanpa izin, mengajar tanpa tauliah, pandangan berbeza dengan fatwa negeri atau apa sahaja yang yang boleh ditambah oleh pihak berkuasa agama pada masa hadapan, saya menangguhkan sokongan dalam hal itu. Ia perlu diteliti dan dibahaskan dengan mendalam kesan terhadap hak-hak rakyat dalam negara ini.



Terakhirnya, saya tidak dapat menerima hal ini dipolitikkan dan sikap mudah mengkafirkan ataupun melebel seperti anti-Islam dll ataupun memaki hamun orang lain hanya kerana perbezaan pendapat dalam hal ini.



Dr Maza

Sumber

LAMPU SOLAR ISTIMEWA-JIMAT BIL ELEKTRIK ANDA & MUDAH DIPASANG!

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive