Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Sabtu, September 13, 2008

Misi buru 5 pemimpin PKR di Taiwan bermula, BN-BBC 'ubah haluan'


MSTAR ONLINE

13-09-2008 12:44:37 AM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK dan ZANARIAH ABD. MUTALIB

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Ketika lima pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiba di Taiwan dengan mendakwa sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah pun bersetuju mengadakan perbincangan melompat parti, anggota BN-BBC terbabit dipercayai akan meninggalkan negara itu awal pagi esok.

mStar Online difahamkan sebahagian anggota BN-BBC akan berlepas ke Hong Kong manakala beberapa Ahli Parlimen akan kembali ke tanah air.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh ketika dihubungi sebentar tadi berkata, misi mengadakan perbincangan dengan beberapa Ahli Parlimen BN bermula malam ini.

Kata Fuziah, beliau akan menggunakan masa dengan sebaik mungkin bagi memastikan matlamat mereka 'menjejaki' Ahli Parlimen BN di sana mencapai sasarannya.

"Kami dimaklumkan mereka (Ahli Parlimen BN) telah tukar rancangan asal dan akan 'melarikan diri' ke Hong Kong esok pagi," kata beliau ketika dihubungi di Taipei malam ini.

Ditanya sama ada beliau dan empat lagi wakil PKR punyai masa yang cukup untuk mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen BN, beliau berkata perkara itu bukan satu masalah.

"Walaupun mereka nak 'lari' esok, tapi kita ada banyak masa untuk bincang. Tengah malam ini dan awal pagi esok selepas sahur pun boleh bincang lagi," katanya dengan yakin.

Malam ini wakil PKR akan menghadiri majlis makan malam bersama pejuang reformis Taiwan, Simyntec.

Fuziah berkata, tindakan Ahli Parlimen BN yang akan ke Hong Kong itu menunjukkan seolah-olah mereka mengiakan bahawa penubuhan kerajaan pada 16 September akan benar-benar berlaku.

"Kalau mereka kata lawatan mereka itu sebagai lawatan yang normal, mengapa perlu tukar rancangan di saat-saat akhir?," katanya.

Ditanya sama ada wakil PKR akan turut mengekori Ahli Parlimen BN ke Hong Kong beliau berkata: "Tidak perlu rasanya, kita mampu laksanakan tugas kita di sini."

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN-BBC), Datuk Bung Moktar Radin pula menafikan rombongan mereka akan menuju Hong Kong esok.

"Mana ada kita ke Hong Kong (esok). Lawatan kita sudah habis hari ini.

"Esok dan lusa sudah ada Ahli Parlimen kita yang mula pulang (ke Malaysia)," katanya.

Bung berkata, dua ahli Parlimen akan pulang esok namun enggan mendedahkan nama mereka.

Selain Fuziah, empat wakil PKR yang kini berada di Taiwan ialah Pengarah Strategi PKR, Saifuddin Nasution, Ketua Penerangannya, Tian Chua serta Ahli Majlis Tertinggi. Low Chee Chong dan Ketua Penerangan Wanita PKR, Elizabeth Wong

Tian berkata, sehingga kini Pakatan Rakyat berkeyakinan bahawa pada 16 September ini kerajaan baru persekutuan akan dibentuk.

“Hingga kini kami telah berjaya... langkah seterusnya berkaitan dengan perkara-perkara teknikal iaitu sama ada kita berjaya mengadakan pertemuan dengan Agung dan juga memastikan proses peralihan itu berlaku dengan aman dan teratur,” kata beliau ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang hari ini.

Tambah beliau, setelah wakil PKR pulang Ahad ini, kepimpinan PR boleh membuat satu rumusan dan membuat pengumuman bahawa "kita telah berjaya dalam agenda 16 September."

Dalam pada itu, beliau juga mengesahkan akan mengadakan perbincangan dengan sebahagian Ahli Parlimen BN mengenai pelan transfomasi kerajaan pada 16 September seperti yang dirancangkan.

Rombongan seramai 49 Ahli Parlimen iaitu anggota Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN-BBC) kini berada di Taiwan sempena lawatan sambil belajar pertanian berteknologi tinggi.

Mereka dijadual pulang ke tanah air pada 17 atau 18 September ini.

PKR, salah satu parti komponen Pakatan Rakyat, memutuskan untuk menghantar kumpulan lima wakil itu pagi semalam.
KOMEN
0 KOMEN

0 komen (Sila komen sikit..):

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive